Tujuan blog ini diwujudkan adalah sebagai medium perkongsian maklumat teknik kreatif, unggul dan pragmatik pengurusan kewangan yang dipelopori oleh Encik Aziz Ibrahim CFP. Pada masa yang sama, blog ini akan mewar-warkan bengkel Revolusi Kewangan yang akan diadakan.

Saturday, April 21, 2007

153,676 Muflis Hutang Kad Kredit

Keratan Utusan Malaysia -1 April 2007

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas mendedahkan setakat bulan lalu, seramai 153,676 orang diisytihar muflis kerana gagal menjelaskan hutang kad kredit.Menurut beliau, biarpun ia hanya mencakupi 20 peratus daripada faktor-faktor yang membawa kepada kebankrapan itu, trend penggunaan kad kredit semakin menjadi-jadi terutama di kalangan remaja.‘‘Ini kerana kad kredit mudah diperoleh, mereka boleh memohonnya di mana-mana termasuk di pusat membeli-belah atau di stesen minyak. ‘‘Keadaan menjadi lebih parah apabila bank memudahkan syarat permohonan malah mereka yang tidak mengemukakan permohonan boleh dapat ‘kad plastik’ ini,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.Isu kad kredit mula timbul apabila Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Mohd. Razif Abdul Kadir mendedahkan kira-kira 40 peratus daripada pemegang kad kredit di negara ini gagal menjelaskan tunggakan pinjaman mereka yang mencecah RM18.6 bilion.Sehingga November 2006, sebanyak 8.8 juta kad kredit dikeluarkan oleh institusi kewangan di seluruh negara dengan purata setiap pemilik mempunyai 3.17 kad kredit.Selain Kayveas, pelbagai pihak seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) menyalahkan institusi kewangan kerana mudah mengeluarkan kad kredit untuk mengaut keuntungan.Beliau yang juga Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) meminta Bank Negara selaku penyelia institusi kewangan agar komited menangani isu tersebut supaya masalah itu tidak menjadi serius hingga sukar untuk dibendung kelak.‘‘Bank Negara perlu mengambil tindakan sewajarnya dan menyediakan garis panduan yang jelas seperti mengawal pengeluaran kad kredit oleh institusi kewangan.‘‘Badan itu perlu bertanggungjawab menyelesaikan isu ini kerana ia dipertanggungjawab menyelia semua institusi kewangan. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlaku,’’ katanya.Beliau juga meminta pihak bank mengambil pendekatan pelan pinjaman untuk menggantikan kad kredit bagi membolehkan mereka yang memerlukan wang sahaja membuat pinjaman.